Penilaian Bagi Pemohonan Lesen Penyiaran Tidak Ambil Kira Parti Politik


KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak menetapkan kriteria penilaian berdasarkan latar belakang parti politik bagi sebarang permohonan lesen bagi aktiviti penyiaran TV dan radio di negara ini.

“Sokongan daripada mana-mana parti politik tidak perlu dan tidak diambil kira dalam menilai sesuatu permohonan,” kata Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam satu jawapan bertulis di persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

Menjawab pertanyaan Wong Shu Qi (PH-Kluang) sama ada kerajaan mengehadkan pemilikan kepentingan parti politik dalam media arus perdana, kementerian itu berkata faktor utama yang dinilai dalam meluluskan pemohonan lesen penyiaran ialah berdasarkan kemampanan pelan perniagaan komersial yang dirancang pemohon.

Selain itu, kemampuan dari segi pengurusan, kedudukan kewangan, teknikal dan juga jenis kandungan yang dapat memberi manfaat kepada rakyat Malaysia secara amnya juga diambil kira. 

“Ini bermaksud bahawa mana-mana pihak yang layak boleh memohon untuk lesen individu di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. #sumber